Assalamualaikum.
Berhabuknya blog ni.
14 bulan sebelum 25/09/2020 adalah tempoh yang sangat menguji emosi diri. Baru hendak pulih dari kecederaan lalu dan bangkit kembali.. Belum sempat pulih dan bangkit, terjatuh kembali. Begitu rapuhnya diri dan lemah kaki ini..
Merangkak mengutip sisa sisa diri, kumpul, cantum dan bertatih kembali.
08/2020. Janji kepada diri, walau apa jua terjadi selepas ini.. Harus kekal berdiri..
Menyendiri mencari kekuatan diri dan menghabisi apa yang dimulai walau tidur, makan harus dikurangi..
24/09/2020. Sehari suntuk mengejar itu ini, dan akhirnya.. Lupa janji dan tewas akhirnya. Menyerah diri untuk dijatuhi.
Penat segalanya dan biarlah semua ini terjadi. Jatuh, dipijak, hatta hendak dibunuh, teruskan.. Tiada kudrat dan tenaga untuk melawan apatah lagi untuk memenangi.
Tapi Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, dikala diri ini putus harapan dan tiada lagi rasa untuk berdiri.. Allah hantarkan pertolongan melalui seorang insan yang baik hati dan pekerti.
Ya Allah, sungguh dekat pertolonganMu. Disaat diri lemas, tewas dan mula hendak memejamkan mata membiarkab hanyut di dalam lautan, Engkau kurniakan udara untuk dihirup..
Bunga yang mulanya sudah hampir gugur, dengan pertolonganMu kembali mekar. Kaki yang sudah lemah dan tidak berdaya untuk melangkah apatah lagi berlari, kembali berlari laju dengan pertolongan dariMu.
15 minit kemudian, semua masalah selesai.
Air mata kesyukuran menemani sepanjang petang itu. Bertapa pertolonganMu sangat dekat, rahmat dan kasih sayangMu sentiasa ada untuk setiap makhluk.. Tetapi sukarnya diri ini untuk mengingati dan meletakkan kebenaran itu di dalam hati dan akal fikiran. Mudahnya mengalah, dan menyerah diri.
25/09/2020. Alhamdulillah, berjaya hantar 'beban' yang dijunjungi selama bertahun tahun. Sungguh, 'beban' ini sangat menagih kudrat untuk terus kekal berdiri.
Buat insan berhati mulia dan pekerti itu, moga dipermudahkan, diberi ketenangan dan berjaya untuk viva master mikrobiologi nanti. Dan moga urusan adik sentiasa dipermudahkan, diberikan kebaikan dunia dan akhirat. Allahumma ameen.
(Didalam kekalutan, tidak sempat untuk bertanyakan nama. Apatah lagi nombor telefon untuk diberikan penghargaan. Hanya memandang insan tersebut berlalu pergi. Kini hanya doa yang mampu diberi sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas jasa dan bakti)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan